PETUNJUK KEJAYAAN DUNIA DAN AKHIRAT
Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al Quran) yang mengesahkan benarnya kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayat Ku (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Aku lah sahaja hendaklah kamu bertakwa. (Al-Baqarah: 41)
Huraian
Beriman dengan Al Quran merupakan salah satu daripada rukun iman yang keempat. Al Quran merupakan rujukan utama umat Islam.
Di dalamnya terkandung segala kebaikan yang menjamin kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat, dan mencegah manusia daripada kesesatan hidup di dunia.
Janganlah kita berpaling lari dari petunjuk Al Quran semata-mata mahu mengejar keuntungan yang sedikit berupa harta, pangkat kedudukan dan sebagainya kerana sesungguhnya keuntungan tersebut teramat kecil nilainya berbanding dengan kerugian yang bakal kita tempuhi di akhirat kelak akibat kelalaian kita ketika di dunia.
Manusia yang alpa dan menjauhi Al Quran akan jauh dari keredaan Allah SAW sedangkan tidak ada yang lebih mulia di sisi Nya melainkan orang yang paling bertaqwa iaitu orang yang sentiasa mengerjakan perkara-perkara yang disuruh serta menjauhi perkara yang dilarang.
Sesungguhnya orang yang paling rugi adalah mereka yang menjauhi dan membenci Al Quran sedangkan mereka mengetahui akan hakikat kebenaran yang terkandung di dalamnya sebagaimana halnya yang berlaku terhadap orang-orang Yahudi yang mendustai Rasulullah SAW dan kitab Al Quran yang dibawa baginda kepada mereka padahal segala kebenaran itu juga terdapat di dalam kitab mereka yang diturunkan sebelumnya.
Kesimpulan
Muslim yang beriman dengan Allah SAW tidak akan melakukan sesuatu yang terang-terangan bercanggah dengan ajaran Islam kerana ia akan merosakkan dirinya dan mencemarkan imej Islam itu sendiri.
Al Quran merupakan panduan terbaik yang menggambarkan kehidupan orang-orang yang beriman dan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.
No comments:
Post a Comment