Pagi ni aku memang kunci jam untuk bangun awal. Kepenatan melayan kes malam tadi menyebabkan aku tido lena sungguh. Kunci jam 6am untuk bangun, jam 5am aku dah terjaga. Nak tak nak sebelum jam 6am, aku terkebil-kebil mata sambil tarik selimut semula. Layan masa yang ada sebelum jam 6am untuk rehat lagi. Penat-penat macam ni memang best kalau dapat lelapkan mata dan dapat rehatkan badan.
Jam 6am lebih lepas subuh aku selesaikan fail-fail atas meja aku untuk persediaan pagi ni punya kes. Lebih kurang jam 7.30am aku rehat sekejap sebelum aku pi mandi.
Inilah sarapan pagi aku. Mee hoon goreng. Tak bestlah. Rasa macam mee kicap aje. Diaorang ni nak meniaga ke tak nak, macam tak ikhlas aje masak. Dan macam biasalah, sumbat aje dalam perut ni. Tak makan lapar pulak nanti.
Kalau ikutkan malam semalam ada satu kes yang dah daftar secara rasmi. Tetiba ada pulak kes tambahan pagi ni. Kalau ikutkan ada 4 kes hari ni. Yang postmortemnya 2 kes aje. Satu kes tu waris dia tak ada lagi (petang tadi baru waris dia datang, jadi tak sempatlah nak buat postmortem, tangguh esok). Dan satu lagi kes refer dari Hospital Kajang, tak sampai-sampai lagi sampai sekarang (mungkin esok diaorang refer kot).
Esok pulak mungkin 3 postmortem akan dilakukan (kalau malam ni tak masuk kes barulah). Alah penatlah minggu ni. Kenapalah banyak sangat orang mati minggu ni. Apa-apa pun tu lah rezeki aku. Dapat juga duit oncall. Nak mengeluh pun kat mulut aje, hati ni terima aje lah seadanya. Dah itu kerja aku dan ini lah rezeki aku.
Petang tadi lepas jam 1pm dah tak ada kes. Dapatlah aku lelapkan mata sekejap. Petang tadi cuma ada kerja-kerja teknikal aje. Maksud aku, sediakan dan lengkapkan borang dan serah spesimen yang aku dah ambik semalam kepada polis.
Lepas jam 5pm tadi ada 2 kes masuk. Satu postmortem esok dan satu lagi polis keluarkan permit kubur. Aku memang dah tak larat nak layan sangat kes tu. Sementara PPK aku ambik kes baik aku lelapkan mata sekejap. Dah jam 7pm Nuar kejutkan aku untuk release kes. Sebelum tido petang tadi aku rendam mee yang paling sedap kat muka bumi ni. Yummmy...
Inilah makanan aku petang tadi. Call sayang mulanya jam 5pm tadi. Ingat nak ajak dia keluar makan. Call punya call, dia tak angkat. Ingatkan dia dah balik atau sibuk dengan kerja dia kot. Jadi lapar punya pasal, aku pun masak lah meggi ni. Telan ajelah walau pun tak nak makan. Badan aku dah berpeluh dan berketar menahan lapar dari tengahari tadi. Tak tahan rasanya nak berlapar lagi. Ada pulak yang pitam nanti.
Bila Nuar kejut sebelum maghrib tadi, dia kata ada orang belanja McD. Perut aku dah kenyang lah pulak. Mungkin aku makan tengah malam sikit kot. Tapi alhamdulillah ada juga rezeki percuma malam ni.
Petang tadi adalah aku berbual-bual dengan budak-budak student ni. Saja berbual kosong. Tetiba timbul lah isu pasal lemah semangat ni. Bukan lemah semangat untuk teruskan posting ni tetapi lemah semangat bila teringat-ingat semual 'cara dan bagaimana si mati itu menemui ajalnya'. Maksudnya dia sentiasa terfikirkan 'kedatangan maut' setiap masa kiranya dia bersendirian. Kiranya ni menginsafi diri sendiri tapi dari segi negatiflah (pada pendapat aku).
Allah dah bersumpah dalam Quran bahawa "setiap yang bernyawa pasti akan mati". Jadi macam aku pun sentiasa menginsafi diri sendiri tentang kekuasaan Allah untuk mengawal setiap kehidupan. Aku sendiri tak tahu macam mana aku akan mati nanti (insyallah aku sentiasa memohon agar aku dimatikan dalam golongan orang yang mendapat syafaat dan mendapat perlindungan Arash Nya). Kadang-kadang bila melihat mayat yang terbujur kaku depan mata dan sentiasa mengendalikan kematian, benda tu dah macam biasa. Tapi ada juga terdetik kat hati ni setiap kali mengendalikan kes, bila lah pulak tibanya 'masa' aku.
Pada pendapat aku sepatutnya dia menginsafi kematian dari sudut kekuasaan Allah (dari pandangan positif). Mungkin dia lemah semangat juga. Aku ni kalau nak beri nasihat memang tak pandai. Nak beri pendapat dan berkongsi pengalaman boleh lah. Aku dulu pun pengecut gila sebelum masuk ke Jabatan Forensik ni. Timbul juga persoalan, aku nak uruskan orang mati ke? Aku nak 'bergelumang' dengan darah orang yang telah mati ke? Dan satu lagi soalan yang sengsara, aku nak potong orang ke?
Semua benda tu dah terjawab dengan sendiri sekarang. Layaknya aku ada kat forensik ni dah hampir tahun ke 5. Apa yang penting bagi aku sifat ingin membantu 'mereka' secepat mungkin menguruskan apa yang telah tertulis di Loh Mahfuz yang masih tidak diselesaikan di dunia ini. Maksud aku mungkin telah tertulis oleh kalam Allah, selepas si polan ni mati, dia akan di bedahsiasat. Mayatnya pula akan dituntut selepas 3 hari dari tarikh dia dijumpai. Tidakkah ini perjalanan dia yang masih belum selesai yang mana kerja aku adalah membantu jasadnya untuk disimpan dan kemudianya diuruskan oleh keluarga mereka. Kalau tak ada peti mayat dan tempat pengurusan mayat seperti Jabatan Forensik ni, mayat dia nak disimpan di mana? Kalau dah 3 hari, rasanya dah busuk baunya.
Kesimpulan aku untuk adik-adik student yang nak masuk mana-mana rumah mayat. Tanamlah sifat untuk 'membantu' mereka yang dah mati. Keikhlasan dan sifat rendah diri akan membuatkan kita insaf dan kita secara semulajadi akan 'seronok' membantu mereka. Dan seperti biasalah, apa yang kita lihat tentang jasad si mati jangan di simpan dalam fikiran dan jangan mempunyai niat untuk bercerita kepada orang lain. Anggaplah ini ilmu yang tidak semua orang dapat merasainya. Fikirkan kematian itu dari sudut positif dan akui kekuasaan Allah yang mencipta kehidupan dan mematikan ciptaan Nya. Kita yang hidup ni, teruskan menikmati kehidupan seumpama kita hidup 1000 tahun lagi dan ingatkan mati seumpama kita akan mati sesaat aje lagi. Jadi salah satu pekerjaan Allah yang mungkin kita tak dapat campuri adalah bab kematian, maksudnya kita tak tahu bila, bagaimana dan tempat kita mati. Jadi janganlah korang dok rasa diri korang akan dimatikan sekejap. Fikirkan pulak kenapa Allah utuskan kita sebagai khalifah di muka bumi ni. Kalau korang dah insaf tentang benda tu semua, maknaknya korang bolehlah jadi orang yang berguna untuk jalan agamaNya.
Amboi macam ustaz pulak aku ni. Hahaha... Apa-apa pun inilah kehidupan. Noktahkan setiap persoalan dengan jawapan yang bernas lahir dari akal fikiran yang waras. Jangan ikut mainan hati yang mematikan segala kenikmatan hidup. Hindari syaitan dari meniupkan angin kelemahan dalam hidup. Hidup perlu diteruskan, mati nanti dah tak jadi hal sebab orang lain yang bernyawa pulak akan menguruskan badan kita. Apa yang sepatutnya difikirkan adalah meningkatkan amalan untuk bekalan 'di sana' nanti. Betul tak? Mati semua orang akan mati, junjungan besar kita pun Allah wafatkan. Inikan kita manusia yang penuh dengan dosa.
Yang last sekali aku nak beritahu, tingkatkan 'saham' akhirat. Dari korang dok fikir benda-benda yang boleh melemahkan jiwa baik berusaha untuk kumpul 'harta' akhirat. Korang mesti pernah dengar 3 amalan yang diterima selepas mati tetapi amalannya dilakukan sekarang. Amal sedekah (jadi rajin-rajinlah menderma), ilmu yang dimanafaatkan oleh orang lain (jadi pandai-pandailah berkongsi ilmu, jangan kedekut) dan ketiga doa anak yang soleh (yang ni korang kena kawin dulu, dapat anak, didik anak dengan didikan agama dan bimbing dia untuk berdoa keselamatan dan ketenangan bagi kedua ibubapanya setiap masa).
Oklah aku nak blah dulu, ada kes pulak dari ICU. Lemah aku dibuatnya. Jomlah teman aku layan kes dulu.